Thursday, April 7, 2011

SEHARI DI UUM

“SUBHANALLAH, cantiknya ciptaan Allah” itulah kata-kata para peserta program SEHARI DI UUM yang diadakan pada 1 April yang lalu di sekitar UUM. Program SEHARI DI UUM merupakan program anjuran PEMBINA KEDAH untuk para pelajar Matrikulasi Kedah. Program ini dimeriahkan dengan kehadiran 23 orang pelajar dari Matrikulasi dan 18 UUM serta urusetia.
Program seperti ini dapat mendedahkan kepada adik-adik matrikulasi tentang cara hidup di IPT dan dapat menolong mereka untuk membuat persediaan sebelum masuk ke IPT. Objektif program ini adalah seperti berikut:
1. Mendedahkan kehidupan di Universiti.
2. Membina ukhwah di kalangan peserta dari KMK dan UUM
3. Mentadabbur alam di UUM

Program dimulakan di pagi hari dengan pengisian yang bertajuk ‘Tarbiyah untuk mengubah jalan hidup’. Slot pengisian ini dapat mendedahkan para peserta mengenai kepentingan tarbiyah dan penerusan tarbiyah sehingga akhir hayat. Program diteruskan dengan sesi LDK dan sesi tadabur alam di sekkitar UUM. Salah seorang peserta berkata, dia berasa sangat seronok menghadiri program seperti ini dan harap dapat memanjangkan lagi masa program untuk program masa hadapan.




Program ini diakhiri dengan aktiviti penukaran hadiah di antara para peserta. Terima kasih diucapkan kepada para peserta yang sudi hadir ke program ini dan kepada mereka yang bersusah payah menjayakan program ini.

PERTANDINGAN BOLA BALING SISWI MAC 2011

“Badan Sihat, Minda Cerdas, Rohniah Digilap ” merupakan tema bagi pertandingan Bola Baling Siswi yang telah dianjurkan oleh PEMBINA KEDAH dengan kerjasama Kolokium Pusat Islam(KPI) UUM pada 4 Mac yang lalu di Padang Bola Baling, Pusat Sukan dan Rekreasi, Universiti Utara Malaysia . Pertandingan ini disertai oleh 28 orang termasuk urusetia dan perlawanan diadakan di antara 3 buah kumpulan secara liga.



Pertandingan seperti ini dapat melahirkan para remaja yang sihat dan cerdas. Dengan lahirnya Mahasiswi yang sihat dan cerdas dapat membantu pembangunan modal insan bagi peserta yang terlibat . Hal ini bersesuaian dengan objektif program iaitu melahirkan mahasiswi yang aktif dan sihat dari segi rohani, jasmani dan intelek serta mengeratkan hubungan kerjasama dan silaturahim di antara golongan mahasiswi.



Aktiviti ini dapat mengisi masa lapang mahasiswi pada hujung minggu dan seterusnya mengelakkan mereka terlibat ke dalam kancah masalah sosial yang kian meningkat sejak akhir-akhir ini. Ummu Sakinah yang menyertai program ini berkata, program yang dijalankan ini walaupun agak bersahaja dan santai tetapi banyak manfaat yang dapat diperolehi terutamanya dalam mempereratkan silaturahim di antara para peserta dan berharap program seperti ini dapat dijalankan lagi.

Program ini diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Kami dari pihak urusetia mengucapkan terima kasih kepada para peserta dan mereka yang terlibat dalam menjayakan pertandingan ini.

“Badan Sihat, Minda Cerdas, Rohaniah Digilap ”

Monday, April 4, 2011

Pembina Kedah Jalin Kerjasama Dengan JKM Bantu Mangsa Banjir Perlis

Kangar, April 01- Penderitaan mangsa banjir yang melanda negeri Perlis sejak beberapa hari lalu turut dikongsi oleh Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Cawangan Kedah dan Cawangan Perlis.  Skuad bantuan mangsa banjir Pembina Kedah yang berkesempatan berkunjung ke Bilik Gerakan banjir negeri Perlis dan Pusat pemindahan mangsa banjir di MRSM Beseri telah dapat menyelami dan berkongsi pengalaman mangsa yang terlibat.

Pembina Kedah yang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diberi tanggungjawab untuk menyalurkan maklumat dan aduan mangsa banjir  di pusat pemindahan MRSM Beseri kepada jabatan tersebut.  Pegawai Kebajikan Masyarakat bertugas, Puan Salmah, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pembina Kedah dan Perlis atas kesudian menghulurkan bantuan. Menurut beliau lagi, kekurangan kakitangan di jabatan itu dapat ditampung sekiranya lebih ramai lagi sukarelawan yang dapat menghulurkan bantuan pada waktu yang genting dan amat diperlukan. Pembina Kedah dan Perlis telah bersepakat dengan JKM untuk meneruskan kerjasama sebegini pada masa akan datang.

Ketua Pusat pemindahan banjir MRSM Beseri, En Wan Japam, turut mengucapkan terima kasih kepada Pembina Kedah yang sudi meluangkan masa bersama-sama mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut. Walaupun hanya negeri Perlis yang terlibat dengan banjir pada kali ini, namun atas dasar persaudaraan, Pembina negeri Kedah tidak ketinggalan untuk turun padang membantu.
Muhammad Uzair yang menyertai skuad Pembina Kedah untuk julung-julung kalinya berkata, banyak pengalaman yang diperolehi sepanjang menyertai skuad bantuan ini. Semoga pengalaman ini dapat dimanfaatkan pada masa hadapan dalam membantu masyarakat yang memerlukannya.

~Pengerusi