Sunday, November 14, 2010

Skuad Banjir PEMBINA Kedah

Bencana alam yang menimpa utara tanah air baru-baru ini memberi kesan besar kepada mereka yang mengalaminya. Di Kedah, banjir kali ini diwar-warkan sebagai yang terburuk sejak lima tahun yang lalu telah menenggelamkan jalan-jalan utama Alor Setar, Jitra, dan Changlun mengakibatkan jalan-jalan utama  ditutup. Keadaan ini memberi impak negatif kepada penduduk serta warga kedah di kawasan yang terlibat. Bagi merasai sendiri kesusahan serta untuk melempiaskan rasa prihatin, PEMBINA Kedah telah mengambil sedikit inisiatif membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat dengan meninjau apa-apa bantuan yang diperlukan.




Kami sempat ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Menengah Tg Anum, Jitra, dan memberi khidmat mengemaskini barang-barang bantuan kepada mangsa serta membuat bancian ke setiap bilik penempatan mangsa untuk mendapatkan maklumat keluarga mangsa yang terlibat untuk diagihkan barang-barang keperluan. Selain itu kami sempat juga memberi khidmat membersihkan rumah-rumah di sekitar Jitra dan Alor Setar di mana rumah-rumah yang dinaiki air rata-rata memerlukan lebih bantuan akibat kesan lumpur yang teruk menjejaskan sebahagian besar peralatan di dalam rumah yang terlibat.

Sedikit pertolongan yang kami hulurkan sedikit sebanyak telah memberi kesan. Ujian yang ditimpa pada mangsa sebenarnya bukanlah hikmahnya hanya pada yang merasai, tetapi juga pada yang memerhati untuk berfikir dengan mata hati dan mengatur tindakan yang diredhai-Nya. Benarlah firman Allah:

" Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?  " ~An-Nisa';78


-su

Monday, November 1, 2010

Bengkel Intensif Kesempurnaan Solat