Saturday, October 16, 2010

Jaulah Penyuntik Semangat

Menempuh perjalanan selama beberapa jam dari utara Kedah ke Bangi dirasakan sesuatu yang berbaloi dalam lawatan mesra yang dianggotai oleh beberapa orang penggerak PEMBINA Kedah pada 9 oktober yang lalu. Bertolak dari Kedah sekitar jam 5 pagi dan tiba ke Bangi sekitar tengahari  terus diisi dengan slot pertemuan dan ramah mesra dengan penggerak PEMBINA Pusat, berlangsung di Pejabat PEMBINA yang bertempat di Pejabat Urusan Pembina Pusat di Bandar Baru Bangi. Pertemuan yang mengambil masa sekitar 2 jam itu, diambil peluang sepenuhnya untuk berkenalan antara ahli yang hadir, perbentangan cara kerja PEMBINA Pusat, serta bertukar-tukar pendapat berkenaan idea serta kejayaan perlaksanaan program.
Lawatan diteruskan lagi dengan memenuhi undangan rumah terbuka Aidilfitri Presiden ISMA ,Ustaz Abdullah Zaid di kediamannya di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. Kehadiran kami disambut mesra dan pastinya ada dikalangan ahli lawatan tidak dapat melupakan detik-detik beharga apabila berpeluang bertemu dengan  tokoh ulama’ dakwah, Sheikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, yang juga merupakan pengarang terkenal buku al-Muntalaqyang tidak asing lagi dikalangan ahli PEMBINA.
Setelah itu, Jaulah diteruskan lagi dengan mengisi slot lawatan bersama Penggerak Pembina Bangi, yang juga diadakan pertemuan di Pejabat Urusan PEMBINA di Bandar Baru Bangi. Pertemuan yang juga bermatlamatkan untuk meninjau cara kerja serta perkongsian idea dari PEMBINA Cawangan Bangi, telah memberi beberapa input beharga  dalam lawatan kali ini. Pengisian diisi dengan taaruf ringkas dan perbentangan struktur organisasi serta program-program yang telah berjaya dilakukan oleh PEMBINA Cawangan Bangi.
Di akhir lawatan, ahli jaulah telah mengambil peluang untuk menghadiri Program Kebudayaan  Sirah Muzikal  yang berlangsung di Auditorium Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. Persembahan menarik yang bertemakan ‘Merentas Kegemilangan Ummah’ yang dianjurkan oleh PEMBINA Cawangan Selangor  itu memberi pengetahuan secara tidak langsung melalui pementasan teater sirah dan persembahan beberapa artis nasyid tanah air.
Lawatan berakhir pada hari yang sama dan bertolak pulang sekitar jam 11.30 malam. Jaulah seharian yang diisi padat dengan lawatan dan ramah mesra dilihat telah mencapai objektif jaulah kali ini iaitu  menyuntik semangat baru serta perkongsian pandangan  tentang cara kerja perlaksanaan program yang dilaksanakan oleh barisan sahabat PEMBINA Pusat dan Cawangan Bangi.  Diharap agar lawatan kali ini mampu menjadi batu loncatan serta permulaan kepada pembaikan aktiviti-aktiviti PEMBINA Kedah ke arah melaksanakan program-program yang bermanfaat buat belia khususnya belia di negeri Kedah.

0 comments:

Post a Comment