Sunday, October 24, 2010

Perlawanan Persahabatan : Pembina Perlis Bersyukur Walau Tersungkur

Sintok - 24 Oktober Pembina Kedah 4-Pembina Perlis 2, itu keputusan akhir perlawanan persahabatan yang berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai semalam. Perlawanan yang pada mulanya dijangka akan dibatalkan kerana hujan lebat yang melanda venue perlawanan iaitu di Kompleks Sukan UUM Sintok akhirnya diteruskan juga dan berpihak kepada pasukan Pembina Kedah.

Walaupun perlawanan bermula agak lewat dan bermain dalam keadaan padang licin, kedua-dua pasukan tetap menunjukkan semangat setiakawan dan kesukanan yang tinggi serta memberikan komitmen yang baik terhadap perlawanan. Pembina Perlis diketuai oleh Hamzah Sakeran, pensyarah UNIMAP diwakili oleh pelajar-pelajar dari UITM Arau, UNIMAP, Politeknik Arau dan IPG Perlis manakala Pembina Kedah yang diketuai oleh Mohd Hisham Mohd Sharif rata-rata diwakili oleh pelajar UUM dan pelajar dari Kolej Matrikulasi Kedah.

Perlawanan berakhir sejurus sebelum Maghrib diikuti oleh Jamuan selepas solat Maghrib dan sesi taaruf ringkas selepas solat Isya di Masjid UUM. Rata-rata pemain Perlis yang ditemui selepas perlawanan menyatakan rasa syukur dapat memaut ukhuwwah dengan teman-teman baru walaupun tersungkur tewas di padang kompleks sukan.

Moga pertemuan kali ini bukan pertemuan yang pertama dan terakhir buat kita.

0 comments:

Post a Comment