Saturday, December 25, 2010

Motivasi: Sesekali, Pujilah Diri

Pujilah diri sendiri...
Biar rasa dihargai...
Walaupun bukan dari orang lain yang sering tidak mengerti...
Pujilah diri sendiri...
Bukan untuk berasa mulia sekali...
Cukuplah sekadar memotivasikan diri...
Bahawa diri sendiri sangat berpotensi..

Pujilah diri sendiri....
Bukanlah dengan meninggi diri biar orang ketahui...
Tapi, cukuplah yang tahu hanya kita dan diri...
Biar rasa saling melengkapi..
Sesekali, pujilah diri sendiri. Kalau sebelum ini setiap kali ada masalah kita sering menyalahkan diri sendiri sebab tidak mampu lakukan yang terbaik. Kadang-kadang masalah orang terdekat terutamanya orang yang kita sayang, juga kita tanpa sedar meletakkan kesalahan itu pada diri kita sendiri sebab tidak mampu melakukan yang terbaik untuk mereka. Akhirnya, diri sendiri jugak yang "terasa hati". Kesannya mungkin bukan suatu yang besar, tapi secara halusnya menghancur lumat motivasi diri.

Sesekali, pujilah diri sendiri. Bukan untuk merasa bongkak dan "lebih-lebih" tetapi sebagai satu terapi untuk kita sentiasa merasakan bahawa diri kita mampu lakukan yang terbaik dalam apapun jua keadaan. Andai sebelum ini setiap kali ada kegagalan, kita mudah merasa rendah diri walaupun kita sudah lakukan yang terbaik. Kalau lah diri kita entiti yang berlainan daripada jasad, pasti "dia" menangis kerana kita sering menunding jari padanya untuk menunjukkan "dia" lah yang bersalah.

Sesekali, pujilah diri sendiri. Duduk, dan muhasabahlah sebentar. Imbas kembali diri kita yang dulu. Pelbagai ujian sudah kita tempuhi. Ujian yang dahulunya kita rasa mustahil untuk dilepasi, namun akhirnya kita berdiri hari ini sebagai seorang yang sudah terselamat dari ujian yang kita takut untuk lepasi dulu. Bukankah itu satu kejayaan buat diri? Itu baru satu ujian, sedangkan sepanjang usia kita dari kecil sehingga sekarang, ada yang sudah usianya separuh abad, suku abad, sepertiga abad, pasti sudah melalui pelbagai pahit getir dalam kehidupan. Dalam tempoh itu, lihatlah keupayaan diri kita sendiri. Telah banyak kejayaan atas ujian yang telah kita ukirkan sendiri, mungkin tanpa kita sedar. Kerana itu, apa salahnya sesekali kita menepuk bahu sendiri, mengucap syabas dan tahniah pada diri sendiri atas kejayaan-kejayaan yang telah kita dapat sepanjang kehidupan kita.

Sesekali, pujilah diri sendiri. Biarpun kita mungkin sukar nak mendapat pujian itu dari orang lain, biarkan. Pujian yang sebenarnya harus dari diri sendiri, barulah kejayaan itu terasa indah untuk kita nikmati. Kalaupun kita sering berada dalam kalangan orang yang sentiasa mendapat pujian dari orang lain, tidak akan sama dengan pujian untuk diri sendiri. Orang lain mungkin hanya melihat kejayaan kita cuma luaran semata. Tapi, diri sendiri yang selama ini merasa pahit getir mendaki gunung melepasi halangan, pasti kita rasa semuanya. Tatkala jatuh bangun, sakit pedih, luka dan darah, semuanya hanya kita yang merasai, kerana itu nilai kejayaan yang kita dapat, sangat berharga andai dimengerti oleh diri sendiri.

Sesekali, pujilah diri sendiri. Andai kita berjaya hari ini, semuanya kerana semangat yang ada dalam diri sendiri. Semangat yang mungkin tiada pada orang lain. Hanya kita yang perolehi kerana kita adalah seorang yang hebat. Sokongan daripada orang lain cuma tolakan luaran, namun, tolakan yang sebenarnya daripada diri kita sendiri sehingga kita mampu menjadi orang yang hebat seperti sekarang.

Sesekali, pujilah diri sendiri. Andai kita merasakan bahawa kita belum lagi mengukir kejayaan, muhasabahlah. Sebenarnya sudah banyak ujian yang telah kita lalui, dan akhirnya kita berjaya tanpa kta sedar. Sesekali, berilah hadiah untuk diri sendiri, agar kita rasa termotivasi.

Hakikatnya, diri kita adalah orang yang sangat berpotensi. Kita hari ini adalah kerana kita suatu ketika dahulu. Kejayaan yang telah kita gapai dan yang akan kita capai, semuanya kerana kemahuan, semangat, keupayaan, keinginan DIRI SENDIRI.

Pujian adalah penghargaan.
Jadi, kalau bukan kita sendiri yang menghargai diri sendiri, siapa lagi?...=)


0 comments:

Post a Comment