Monday, April 4, 2011

Pembina Kedah Jalin Kerjasama Dengan JKM Bantu Mangsa Banjir Perlis

Kangar, April 01- Penderitaan mangsa banjir yang melanda negeri Perlis sejak beberapa hari lalu turut dikongsi oleh Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Cawangan Kedah dan Cawangan Perlis.  Skuad bantuan mangsa banjir Pembina Kedah yang berkesempatan berkunjung ke Bilik Gerakan banjir negeri Perlis dan Pusat pemindahan mangsa banjir di MRSM Beseri telah dapat menyelami dan berkongsi pengalaman mangsa yang terlibat.

Pembina Kedah yang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diberi tanggungjawab untuk menyalurkan maklumat dan aduan mangsa banjir  di pusat pemindahan MRSM Beseri kepada jabatan tersebut.  Pegawai Kebajikan Masyarakat bertugas, Puan Salmah, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pembina Kedah dan Perlis atas kesudian menghulurkan bantuan. Menurut beliau lagi, kekurangan kakitangan di jabatan itu dapat ditampung sekiranya lebih ramai lagi sukarelawan yang dapat menghulurkan bantuan pada waktu yang genting dan amat diperlukan. Pembina Kedah dan Perlis telah bersepakat dengan JKM untuk meneruskan kerjasama sebegini pada masa akan datang.

Ketua Pusat pemindahan banjir MRSM Beseri, En Wan Japam, turut mengucapkan terima kasih kepada Pembina Kedah yang sudi meluangkan masa bersama-sama mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut. Walaupun hanya negeri Perlis yang terlibat dengan banjir pada kali ini, namun atas dasar persaudaraan, Pembina negeri Kedah tidak ketinggalan untuk turun padang membantu.
Muhammad Uzair yang menyertai skuad Pembina Kedah untuk julung-julung kalinya berkata, banyak pengalaman yang diperolehi sepanjang menyertai skuad bantuan ini. Semoga pengalaman ini dapat dimanfaatkan pada masa hadapan dalam membantu masyarakat yang memerlukannya.

~Pengerusi

0 comments:

Post a Comment